TANJUNG MALIM, 28 Oktober 2025 — Isu Pendidikan Islam dalam era multibudaya dan cabaran globalisasi menjadi fokus utama Persidangan Antarabangsa Pertama Pascasiswazah Pengajian Islam 2025 (The First International Postgraduate Conference on Islamic Studies 2025) yang akan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Persidangan anjuran bersama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN Malaysia), Program Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI, serta Pusat Pascasarjana Universitas Islam Negeri (UIN) Sultan Maulana Hasanuddin, Banten, Indonesia, itu bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama akademik antara kedua-dua institusi pengajian tinggi berkenaan.
Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali, berkata penganjuran persidangan bertemakan “Pendidikan Islam dalam Era Multibudaya dan Globalisasi” itu menjadi platform penting untuk memperkukuh kolaborasi dalam bidang penyelidikan pendidikan, penerbitan akademik, penganjuran persidangan dan program mobiliti akademik.
“Persidangan ini memberi peluang kepada ahli akademik, penyelidik dan pelajar pascasiswazah dari Malaysia dan Indonesia untuk membentangkan hasil penyelidikan terkini serta berkongsi pandangan ilmiah dalam suasana akademik yang kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, persidangan itu juga menjadi medan perbincangan bagi merangka perancangan masa depan serta memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama dua hala antara institusi yang terlibat.
Penganjuran program berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, dan dijangka menarik penyertaan penyelidik serta pakar dalam bidang Pengajian Islam, Sains Sosial, Kemanusiaan dan Pendidikan, sekali gus menjadikannya antara acara penting dalam kalendar akademik serantau.
.png)

English (US) ·